Friday, March 30, 2012

Dakwah.

Assalamualaikum wbt. Posting kali ini aku nak cakap tentang satu perkara yang mungkin kita semua dah selalu dengar tiap-tiap hari iaitu dakwah. Apa itu dakwah? Kita kena dakwah ke? Bila kita kena dakwah? Itu semua barangakali persoalan-persoalan yang sering bermain dalam fikiran kita. Kita itu termasuklah diri aku ini.

Apa itu dakwah?

Bahasa.

Dakwah ertinya menyeru, mengajak, memanggil, menyampai, dan mendorong. Perkataan-perkataan yang seiring dengan dakwah seperti Al-Wa’zu, Al-Irsyad, At-Tabligh dan lain-lain lagi.

Istilah.

Dakwah ialah mengajak atau menyeru manusia ke jalan Allah dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran supaya mereka mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. 

Kenapa kita kena dakwah?

Allah yang memberikan tanggungjawab dakwah kepada kita sebagai khalifahNya di muka bumi ini. Buktinya ada banyak dalil-dalil atau nas al-Quran dan Hadis yang menyuruh kita menyebarkan dakwah. Antaranya: 

Allah dalam firmanNya dalam surah Al - Fussilat: 33
 "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata aku adalah daripada orang-orang yang menyerah diri(Muslimin)."
Allah berfirman dalam surah ali-Imran ayat 110
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk (faedah) manusia, Kamu mengajak kepada kebajikan dan kamu mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah....."
Sabda Nabi SAW:
 " Barang siapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaan), apabila ia tidak berkuasa (dengan tangan) maka dengan lidahnya (teguran atau nasihat), apabila tidak kuasa (dengan lidahnya) maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)
Soal bila kita kena berdakwah, jawapannya ialah sejak kita dilahirkan sebagai Muslim dan faham tentang hakikat Islam, sejak itulah kita diwajibkan berdakwah yakni menyampaikan Islam. Tiada istilah "tunggu aku jadi baiklah", "aku banyak buat dosalah", "aku tak layak berdakwah sebab aku doktor, bukannya ustaz". Itu semua mengarut! Hanya alasan untuk larikan diri dari dakwah. Kita tidak akan terlepas dari buat dosa. Semua orang buat dosa. Tapi itu bukan alasan untuk tidak berdakwah. Dakwah juga adalah kewajipan bagi semua orang Islam. Bukannya hanya pada orang yang bergelar ustaz atau ustazah sahaja!

Perjalanan Dakwah.

Dalam dakwah ini tiada manis dan seronok sepanjang masa. Pasti akan ada ujian dan cabaran yang Allah uji kita. Pada aku adalah pelik kalau seseorang itu berkata, "Setakat ini aku buat dakwah semua orang suka dengar ceramah aku atau semua suka dengar aku cakap, ramai yang gelak ketawa." 

Kalau kita lihat sirah Nabi SAW, bagaimana baginda memulakan dakwahnya setelah diturunkan wahyu bukanlah bermula dengan sesuatu yang gembira. Baginda dicemuh, dihina, dipulau, dan macam-macam lagi. Nabi SAW dibaling dengan batu oleh penduduk Taif ketika baginda cuba untuk menyampaikan dakwah di negeri itu sehingga mengalir darahnya kerana luka. Namun begitu, baginda tidak pernah berputus asa dalam menyampaikan dakwah Islam keseluruh alam.

Contoh lain, lihatlah perjalanan hidup imam-imam besar yang empat seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan Imam Syafie, dakwah mereka tidaklah dipenuhi dengan suka ria dan kesenangan sepanjang masa. Sepanjang hayat mereka diseksa, dipukul, dipenjara hanya kerana mempertahankan dakwah mereka. Begitu juga Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah yang dipenjara sampai mati hanya kerana mempertahankan fatwanya. Imam Bukhari dibuang dari kampung halamannya kerana ramai yang menetangnya. Namun begitu, lihatlah siapa mereka sekarang ini. Siapa tak kenal Imam Syafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, Ibn Taimiyyah, dan Imam Bukhari? Meraka semua diiktiraf sebagai jaguh ilmuwan Islam oleh semua manusia. Kitab-kitab mereka dijadikan rujukan oleh ramai para ulama'. Lihatlah, inilah nasib dan perjalanan seorang pendakwah, masa hayatnya mungkin dia dihina, difitnah, ditentang, dipenjara, dipukul dan dihalau dari kampung halaman, tetapi orang akan mengenang jasa dan usahanya selepas dia sudah tiada. Itulah lumrah kehidupan.

Jadi, bagi yang berasa down sebab dakwah tak diterima atau ditentang, ingatlah itu baru sedikit. Nabi SAW dan ulama' terdahulu kena lebih teruk dan dahsyat dari kita. Mengapa kita yang baru kena sedikit dah nak mengalah awal? Persoalan untuk diri aku juga ye. 

Akhir sekali, ingatlah kita kena yakin apa yang kita sampaikan atau dakwahkan adalah benar dan mestilah berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Bukan mesti kalau benda benar yang kita sampaikan mesti ada yang mengikut. Bukan syarat kebenaran yang kita sampaikan itu mestilah ada ramai yang mendengar ceramah kita. Ingat! Kebenaran bukan dinilai pada berapa ramai orang yang ikut kita, tetapi kebenaran dalam Islam itu adalah berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW menceritakan perihal hari kiamat yang ditunjukkan oleh Allah kepada baginda. Baginda menyebut:
 “Diperlihatkan kepadaku umat-umat manusia. Maka aku dapati ada nabi yang mempunyai seorang pengikut. Ada pula nabi yang mempunyai dua orang pengikut. Ada pula yang mempunyai beberapa orang pengikut. Ada juga nabi yang tidak mempunyai seorang pengikut pun…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oklah. Sampai sini je kot aku tulis. Macam merapu je. Haha. Aku tak pandai nak buat ayat lawa-lawa. Tapi rasanya korang semua tahulah ye apa yang aku cuba sampaikan. Mohon maaf kalau tulisan ini ada kekurangan atau kecacatan ye. Salam.

No comments:

Post a Comment