Saturday, April 14, 2012

Biarlah rahsia.

Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar semua? Mudah-mudahan kita semua sentiasa dibawah rahmat Allah swt. Apa yang menggerak aku untuk menulis kali ini ialah kerana apa yang akan berlaku di tanah air aku sendiri iaitu Malaysia. 

Sekarang kat Malaysia tengah hangat dengan pilihan raya umum yang akan datang nanti. Buka Youtube penuh dengan ceramah-ceramah politik. Buka berita online penuh dengan isu-isu politik dan kadang-kadang perkara tersebut tiada kena mengena langsung dengan politik pun tetapi sengaja dipolitikkan oleh ahli-ahli politik yang...[korang isilah sendiri]. Itulah realiti politik di zaman sekarang.

Namun begitu, bukan layak bagi aku untuk beri komentar terhadap perjalanan politik di Malaysia ini. Sebab aku mulanya memang tak minat dan tak ambil tahu pasal politik. Dengan keadaan politik Malaysia yang kucar-kacir dengan isu ini dan itu buatkan aku malas nak ambil tahu langsung.

Selepas itu, aku mula nak ambil tahu pasal politik tapi bukan jadi penyokong yang mengkhizir buta sahaja. Aku mula sebagai neutral. Senang cerita aku masih menilai dan mengkaji parti mana atau jemaah mana yang elok berdasarkan apa yang aku baca dan dengar. Waktu itu ada seorang hamba Allah ini bertanya pada aku, "Kau sokong mana? Undi siapa?". Aku tak berikan jawapan yang sepatutnya. Aku hanya menjawab, "Undi adalah rahsia." Padahal waktu itu aku baru nak kenal-kenal atau ambil tahu pasal parti-parti politik kat Malaysia ini. Noob gila kan? Haha.

Kemudian, dari masa ke masa aku membaca, mendengar, dan melihat perjalanan parti-parti politik kat Malaysia ini, aku mula mendapat idea apa yang baik untuk aku. Walaupun tak banyak, tapi tahulah sikit-sikit. Kalau nak tengok kawan-kawan aku, aku boleh kata macam ramai yang macam tak ambil peduli sangat pasal politik kat Malaysia ini. Ada yang jenis go with the flow sahaja. Ada juga kawan-kawan aku yang kuat politik. Aku pun bingung yang mana patut ikut. Jadi orang yang tak ambil tahu langsung atau jadi orang yang taksub dengan parti dan hanya ikut mengkhinzir buta sahaja. 

Alhamdulillah Allah swt seolah-olah beri aku petunjuk jalan mana yang harus ikut. Aku tak jadi orang yang dungu dan aku tak juga jadi orang yang fanatik. Aku masih pilih jalan tengah. Jalan tengan bukan bererti tidak memilih. Tetapi memilih melalui penilaian yang adil dan saksama. Biarlah aku jadi orang yang buta pada 'lambang' dan 'warna'. Aku tetap berpegang teguh pada prinsip kebenaran. Di mana sahaja kebenaran pasti aku menyokongnya, tak kira dari mana ia datang. Firman Allah swt:
"...oleh itu gembirakanlah hamba-hamba- Ku. (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab." (al-Zumar: 17-18).
Aku yakin ramai yang mahukan Malaysia yang aman dan maju. Sebagai seorang Muslim aku juga mengimpikan Malaysia menjadi sebuah negara yang Islamik tetapi bukan dengan bersikap fanatik.

Sekali lagi aku ditanya "Kau undi mana nanti?" Kali ini aku masih menjawab, "Undi adalah rahsia." Tapi kali ini aku tahu mana yang patut aku pilih. Kira aku tak noob lah. Haha. 

Aku tak suka beritahu side mana aku pilih bukan bererti aku ini suka berahsia ke apa. Melihat dari segi pemikiran segelintir orang Malaysia yang suka hukum orang berdasarkan side mana yang dia undi membuatkan aku berfikir rahsia itu lebih baik. 

Aku sendiri ada kawan yang kuat 'birunya', dan kuat juga 'hijaunya'. Tapi aku masih berkawan dengan mereka semua seperti biasa bahkan lebih rapat lagi. Aku jenis yang tak suka menilai orang ikut apa yang dia undi. Sekali pun dia undi parti yang bukan parti aku, dia tetap kawan dan sahabat aku. 

Ada orang yang kalau dia tahu kita undi parti yang bukan parti dia, terus dia jauhkan diri dari kita. Diri kita dilempar dengan pandangan-pandangan dan persepsi-persepsi yang negatif seolah-olah tiada yang baik dalam diri kita. Berbeza pula kalau kita undi parti yang sama dengan parti dia, secara tiba-tiba hubungan menjadi lebih rapat, setiap hari bertegur dengan senyum dan tawa. Apa ini? Inikah yang dinamakan adil? Terutama bagi kita yang beragama Islam.

Firman Allah swt:
Maksudnya: “...dan janganlah kebencian kamu kepada sesuatu kaum itu menyebabkan kamu tidak berlaku adil kepada mereka, berlaku adillah kerana itu lebih dekat dengan takwa…” [al-Maidah: 8]. 
Aku kalau boleh tak mahu orang berkawan rapat dengan aku kerana politik. Putus kawan atau menjauhkan diri dari aku juga kerana politik. Tak bolehkan kita berkawan atau bersahabat atas dasar akidah kita yang sama iaitu mentauhidkan Allah swt. Kenapa perlu bezakan orang berdasarkan 'warna' atau 'lambang' apa yang dia ikut? Pemikiran sebeginilah yang perlu kita buang jauh-jauh kerana ia menunjukkan ketidakmatangan pemikiran seseorang itu.  

Akhir sekali, harapan aku sebagai seorang rakyat biasa yang tiada apa-apa jawatan ini, pada mana-mana parti yang bakal memerintah nanti, perintahlah dengan adil dan saksama. Kembalikan hak-hak orang yang dizalimi, perintahlah dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab kerana Nabi saw pernah bersabda:
Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu.” (HR Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, sama-samalah kita mendoakan agar negara kita akan jadi bertambah makmur dan sentiasa dibawah rahmat Allah swt dan diberkatiNya. Aku mohon maaf sekiranya posting aku kali ini buatkan sesiapa yang membacanya terasa sebab post ini aku tujukan pada diri aku sendiri terutamanya dengan tidak aku tujukan kepada sesiapa secara spesifik, hanya general semata-mata. 

Sebagai penutup, bersahabat dan berkawanlah kerana Allah swt, kita boleh berbeza dalam ideologi tetapi kita tetap sama dalam banyak perkara kan? Tuhan kita sama, Qiblat kita sama, Rasul kita sama, mengapa perlu cari perbezaan yang sedikit sedangkan kita dan banyak persamaan? Sama-samalah kita renungkan. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment