Sunday, March 18, 2012

Agama Itu Nasihat. [I]


عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ .

(رواه  ومسلم)

Dari Abu Ruqayyah Tamim Ad Daari radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda : Agama adalah nasihat, kami berkata : Kepada siapa?  beliau bersabda : Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan kepada pemimpin kaum muslimin dan rakyatnya.
(Riwayat Muslim)
Hadis ini para ulama' hadis hukum sebagai hadis yang Sahih. Hadis ini juga selain diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, diriwayatkan juga oleh beberapa imam-imam hadis seperti:
  1. Imam Muslim (no. 55 [95]).
  2. Imam Abu ‘Awanah (I/36-37).
  3. Imam al-Humaidi (no. 837).
  4. Imam Abu Dawud (no. 4944).
  5. Imam an-Nasa-i (VII/156-157).
  6. Imam Ahmad (IV/102-103).
  7. Imam Ibnu Hibban. Lihat at-Ta’liqatul-Hisan ‘ala Shahih Ibni Hibban (no. 4555) dan Ra-udhatul- ‘Uqala' (no. 174).
  8. Imam al-Baihaqi (VIII/163).
  9. Imam Muhammad bin Nashr al-Marwazi dalam Ta’zhim Qadrish-Shalâh (II/681 no. 747,749,751,755).
  10. Imam ath-Thabrani dalam al-Mu’jamul-Kabir (no. 1260-1268).
  11. Imam al-Baghawi dalam Syarhus-Sunnah (XIII/93, no. 3514).

Biodata ringkas perawi hadis. 

Abu Ruqayyah, Tamim bin Aus bin Kharijah bin Su-ud bin Jadzimah al-Lakhmi al-Falasthini ad-Dari merupakan seorang sahabat Nabi SAW. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan seorang Nasrani dan menjadi rahib di Palestine. Kemudian pada 9H, beliau berpindah ke  Madinah dan lalu memeluk Islam bersama saudaranya Nu'aim. Selepas berlakunya pembunuhan Khalifah Saidina Uthman bin 'Affan RA, beliau kemudian berpindah ke negeri Syam. Beliau merupakan seorang yang soleh dan sering melakukan solat tahajjud serta sentiasa mengkhatam al-Quran. 

Beliaulah yang menceritakan kepada Nabi SAW tentang Dajjal dan Jassasah lalu Nabi SAW menyampaikan kisah tersebut di atas mimbar kepada para sahabat yang ada ketika itu. Beliau juga pernah mengikuti beberapa peperangan bersama Nabi SAW. 

Selain itu, beliau juga merupakan orang yang pertama memasang lampu dan membacakan kisah-kisah dalam masjid. Hali ini berlaku ketika zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab RA. Tamim ad-Dari meriwayatkan sebanyak 18 hadis daripada Nabi SAW. Beliau meninggal pada 40H di Palestine. [1]

Apa itu nasihat?
Perkataan “nasihat” asalnya dari bahasa Arab. Ia diambil daripada kata kerja “nashaha” (نَصَحَ), yang maknanya “khalasha” (خَلَصَ) iaitu murni serta bersih dari segala kotoran. Ia boleh juga bermakna “khatha” (خَاطَ), yaitu menjahit. [2]

Imam al-Khaththabi rahimahullah menjelaskan erti perkataan “nashaha”, sebagaimana dinukil oleh Imam an-Nawawi rahimahullah, “Dikatakan bahwa “nashaha” diambil dari “nashahar-rajulu tsaubahu” (نَصَحَ الرَّجُلُ ثَوْبَهُ) apabila dia menjahitnya. Maka mereka mengumpamakan perbuatan penasihat yang selalu menginginkan kebaikan orang yang dinasihatinya, dengan usaha seseorang memperbaiki pakaiannya yang koyak.” [3]

Ramailah lagi ulama' membahaskan makna nasihat ini tetapi kesimpulannya nasihat adalah kata yang dipakai untuk mengungkapkan keinginan memberikan kebaikan pada orang yang diberi nasihat.

Agama adalah nasihat.

Dalam hadis ini, Nabi SAW memberitahu bahawa agama itu nasihat. Mengapa Nabi SAW kata demikian? Apakah maksud baginda Nabi SAW? Ulama yang membahaskan hadis ini telah memberikan beberapa jawapan terhadap persoalan tersebut.

Antaranya:

PERTAMA: Hadis ini memberitahu bahawa hampir semua agama itu nasihat. Contoh yang hampir sama, Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis.
الْحَجُّ عَرَفَةُ
Haji itu adalah wukuf di ‘Arafah. [4]

KEDUA: Hampir keseluruhan agama ini adalah nasihat. Kerana setiap amalan tanpa disertai dengan ikhlas tidak termasuk agama [5]

Setiap nasihat untuk Allah Ta'ala menuntut pelaksanaan kewajiban agama secara sempurna. Inilah yang disebut darjat Ihsan. Tidaklah sempurna nasihat untuk Allah tanpa hal ini. Tidaklah mungkin dicapai, bila tanpa disertai kesempurnaan cinta yang wajib dan sunnah, tetapi juga diperlukan kesungguhan mendekatkan diri kepada Allâh Ta'ala, yaitu dengan melaksanakan sunnah-sunnah secara sempurna dan meninggalkan hal-hal yang haram dan makruh secara sempurna pula. [6]

KETIGA: Nasihat merangkumi seluruh bahagian Islam, Iman dan Ihsan sepertimana yang kita dapat lihat dalam hadis Jibril a.s. 

Oleh itu, jelaslah keterangan para ulama' tentang maksud sabda Nabi SAW “agama itu nasihat”. Kerana nasihat, adakalanya bermakna pensifatan sesuatu dengan sifat kesempurnaan Allâh, Kitab-Nya, dan Rasul-Nya. Adakalanya merupakan penyempurnaan kekurangan yang terjadi, berupa nasihat untuk pemimpin dan kaum Muslimin pada umumnya. 

Syarah hadis ini akan bersambung dalam posting akan datang. 

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[1] Siyar ‘Alamin Nubala (II/442-448), al-Ishabah fi Tamyizish-Shahabah (I/183-184), dan Tahdzibut- Tahdzib (I/449, no. 951).
[2] Lisanul-Arab (XIV/158-159) bahagian kata “Nashaha”. Daar Ihya-ut Turats al-‘Arabi, Cetakan I, Tahun 1408H.
[3] Syarah Shahih Muslim (II/37).
[4] Hadis riwayat Abu Dawud (no. 1949), an-Nasa-i (V/256), at-Tirmidzi (no. 2975). Lihat Fathul Bâri (I/138).
[5] Fathul Bari (I/138).
[6] Jami’ul-‘Ulum wal-Hikam (I/218).

No comments:

Post a Comment