Wednesday, February 22, 2012

Realiti Umat Islam.

Aku mulakan qalamku dengan Bismillahirrahmanirrahim. Dengan akal yang diberikan berserta phalanges yang cukup, aku masih mampu untuk menulis. Menulis...sebagai tazkirah untuk diri sendiri. Aku yang sepatutnya menerima tazkirah bukan memberi tazkirah kerana aku bukanlah orang yang baik sangat. Namun begitu tinta aku ini juga aku tujukan kepada insan-insan yang merasa dirinya mahu ditazkirahkan seperti aku. 

***Apahal skema semacam nih?***

Salam readers. Apa habaq? Moga sihat iman dan badan. Insya'Allah.

Posting kali ini aku nak cakap pasal isu zaman berzaman yang melanda umat Islam seluruhnya. Umat Islam sering kali ditindas dan dizalimi oleh musuh-musuh Islam. Hal ini terjadi selepas jatuhnya kerajaan Khalifah Turki Uthmaniyah. Setelah beberapa kurun Islam menguasai hampir 2/3 dunia, akhirnya kerajaan Islam yang dahulunya hebat tumbang kerana kelalaian umatnya sendiri. Dahulu kita dapat lihat khalifah Islam yang hebat seperti al-Khulafa' ar-Rasyidin, Khalifah Umar Abdul Aziz, Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Muhammad al-Fatih dan lain-lain. Merekalah yang membawa Islam menjadi ustaziatul alam sehingga kerajaan Islam digeruni oleh musuh-musuh Islam. 

Tapi itu hanyalah sejarah. Tak guna kalau kita berbangga dengan sejarah kalau kita tidak bercita-cita untuk merealisasikannya untuk kali kedua. Realiti umat Islam masa kini menjadi sebaliknya. Kita yang dahulu menguasai dunia, sekarang kita dikuasai musuh kita dan lebih teruk lagi kita ditindas dan dizalimi sesuka hati. Lihat saja apa yang pernah berlaku di Chehnya, Bosnia Herzegovina, Palestine, Iraq, Afghanistan, dan paling dekat dengan kita seperti yang berlaku di Selatan Thai dan Ambon dimana saudara seIslam kita dibunuh dan diseksa oleh musuh kita sendiri. 

Persoalannya, dimanakah pemimpin-pemimpin Islam ketika ini? Di manakah orang Arab yang dahulunya pernah memiliki Khalifah empat yang hebat? Di manakah orang Turki yang pernah memiliki Sultan yang membuka kota Constaninople? Di manakah bangsa Kurdi yang dari mereka lahirnya pemimpin yang membuka kota Baitul Maqdis? Dimanakah kalian? 

Sesungguhnya bangkitnya Islam bukan bergantung kepada sesuatu bangsa atau keturunan. Ia bermula dengan mana-mana kaum atau bangsa yang mana Allah swt izinkan mereka menaikkan semula Islam di mata dunia dengan syarat bangsa atau kaum tersebut mestilah berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. 

Khalifah Mu'tasim

Realiti pemimpin sekarang berbeza dengan Khalifah terdahulu. Amat berbeza. Ingin aku kongsikan satu cerita tentang Khalifah kerajaan Abbassiyah yang bernama Mu'tasim seperti yang kita selalu dengar.

Tatkala seorang wanita di kota Ammunriah (terletak antara Iraq Utara dan wilayah Syam) berteriak dan minta pertolongan kerana kehormatannya dinodai oleh seorang pembesar Romawi, kemudian ia berteriak : ”Dimana engkau wahai Mu’tasim?!” Maka tak lama setelah berita teriakan wanita itu sampai ke telinga Mu’tasim, lalu beliau bangkit dan menjawab panggilan wanita itu, "Ya, wahai ibu! Sayalah Mu'tasim yang ibu panggil. Lalu beliau segera mengerahkan bantuan dan memenuhi panggilan itu dengan mengerahkan pasukan tentera kaum Muslimin. Beliau menulis surat kepada pemerintah Ammunriah yang berbunyi:

"Daripada hamba Allah yang bernama al-Mu'tasim kepada anjing Rom! Apabila suratku ini telah sampai kepadamu hendaklah kamu membebaskan wanita berkenaan. Jika engkau tidak membebaskan wanita tersebut, aku akan mengirimkan bala tenteraku yang kepala barisannya berada di Kota Ammuriah, sedangkan ekornya berada di Kota Baghdad yakni akan aku gunakan keseluruhan bala tentera dan umat Islam untuk menyelamatkan seorang wanita yang telah engkau tawan."

Ya, seramai itu untuk menyelamatkan seorang wanita! Inilah harga diri, maruah dan kewibawaan orang Islam sehingga mereka tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun wanita itu hanyalah wanita bawahan, rakyat biasa yang tidak dikenali. Inilah tanggungjawab sebenar seorang pemimpin atau Khalifah menjaga keselematan individu Muslim dan menjaga empayar Islam agar tidak disentuh oleh mana-mana pihak dikalangan musuh-musuh Allah dan RasulNya.

Dengan pasukan ini bangsa Romawi diperangi dan dengan dikalahkan dengan mudah. Kekuatan mereka dapat dipatahkan dan Kota Ammuriah ditakluki. Jumlah korban dari pihak musuh mencapai 30.000 orang dan jumlah orang yang ditawan juga 30 000 orang.

Bolehkah kita bayangkan demikianlah, hanya untuk membela dan melindungi seorang wanita saja, Khalifah Mu’tasim telah mengerahkan demikian banyak pasukan, dan bahkan menaklukkan bangsa Romawi yang telah melanggar kehormatan umat Islam.

Itu barulah yang dinamakan lelaki pelindung wanita celupan Islam! Bukannya menambah pencabulan terhadap kehormatan seorang wanita. Jadi, akhir kata, aku berharap satu hari kita akan lihat pemimpin Islam yang hebat seperti dulu. Aku tak mahu pemimpin yang hanya gemar berfoya-foya menghabiskan khazanah negara, menindas rakyatnya sendiri, dan lain-lain. Aku mahukan pemimpin yang berjiwa Islam dan berjiwa rakyat. 

Sebelum habis, marilah kita sama-sama renung akan hadis Nabi saw ini:

Sabda Rasulullah saw: “Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan) . Seorang sahabat bertanya “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab “bahkan bilangan kamu diwaktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha` (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabt bertanya pulak ” Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?” Jawab Rasulullah “cinta dunia dan takut mati” (Riwayat Abu Daud. Al-Albani menilainya sebagai sahih).

P/S: Posting ini aku tujukan untuk diri aku sendiri. Tidak menuju kepada mana-mana individu atau mana-mana pihak. Sekadar pendapat peribadi yang mungkin benar dan mungkin salah. Jikalau salah mohon dibetulkan dengan hikmah. Peace.

No comments:

Post a Comment