Thursday, October 6, 2011

Niat dan Orang Melayu.

Assalamualaikum. Apa khabar? Moga baik-baik sahaja. Insya'Allah. Post kali ini aku tergerak nak bercakap pasal niat. Setiap manusia itu berniat dan apa yang mereka buat itu adalah dengan niat. 

Apa itu niat?

Well, aku rasa korang semua tahu apa maksud niat. Kita pernah belajar dulu time sekolah menengah.Tak perlu aku explain lagi disini. Cuma aku nak kongsi satu hadis tentang niat:
“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).
Setiap amal itu bermula dengan niat. Bererti segala apa yang kita buat dalam kehidupan seharian kita sebenarnya bermula dengan niat. Sama ada baik atau buruk itu terpulang kepada kekuatan iman masing-masing.

Cumanya apakah niat itu dalam hati atau perlu dilafazkan? Terkadang kita sebagai orang Melayu selalu menyalah ertikan niat dengan melafazkan niat tersebut. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi kita kerana telah diajar dibangku sekolah dahulu oleh ustaz dan ustazah tentang niat. Sebagai contoh niat solat. Untuk memahami niat solat kita disuruh melafazkan niat tersebut satu persatu seperti dalam buku teks. Hmm. Aku dulu pun macam itu juga. Tak mahu salahkan sesiapa. Tapi kita wajar berfikir kembali. Niat kena lafaz kuat ke?

Waktu aku solat Jumaat dulu, ada sorang makmum sebelah aku punyalah susah nak berniat. Kesian aku tengok. Imam dah bertakbir sampai dah nak ruku' dia asyik sebut "Usholli...". Biasa orang yang lafaz niat berulang-ulang kadang-kadang disebabkan was-was atau kononnya niat belum masuk. Inilah akibatnya kalau kita salah faham tentang maksud niat. 

Niat adalah lintasan hati. Ia adalah perbuatan hati. Bukannya lidah. Tak mungkin seseorang yang ambil wudhu' kemudian duduk dalam saf solat lepas itu kata tiada niat. Mustahil! Sudah tentu kita dah ada niat. Mengapa kita masih nak sebut "Usholli..." kononnya baru nak berniat buat apa. 

Kita minum air, makan nasi, pergi kelas semua dengan niat. Bereti lintasan dalam hati kita nak buat apa yang kita nak. Tak pula kita lafaz, "Sengaja aku pegang gelas ini kerana hendak minum...". Ini langsung tak masuk akal. Sehingga kadang-kadang boleh mendatangkan was-was dalam solat. 

Dr. Yusuf al-Qaradawi ada berkata tentang masalah ini:
Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was.”
Bahkan Syeikhul Islam ibn Taimiyyah berkata sesungguhnya lafaz niat ini adalah cacat pada akal dan agama.
"Bahkan melafazkan niat itu adalah cacat pada akal dan agama. Adapun pada agama kerana ia adalah bid’ah . Adapun pada akal, kerana ia seperti orang yang hendak makan sesuatu makanan lalu berkata: “Aku berniat meletakkan tanganku pada bekas ini kerana aku hendak mengambil satu suap darinya, lalu aku letakkannya dalam mulutku, lalu aku kunyah kemudian aku menelannya supaya aku kenyang”. Sama seperti orang yang menyebut: “Aku niat bersolat fardu ini pada masuk waktunya, empat rakaat dalam jamaah, tunai kerana Allah”. Ini semua adalah bodoh dan jahil. Ini kerana niat adalah kesampaian pengetahuan. Apabila seseorang hamba Allah tahu apa yang sedang dia buat, maka dengan sendirinya dia telah berniat perkara itu. Tidak terbayang dengan wujud pengetahuan dalam akalnya, untuk dia melakukan sesuatu tanpa niat. Tidak mungkin pula tanpa pengetahuan, terhasilnya niat. Telah sepakat para imam yang empat bahawa menguatkan suara dalam berniat dan mengulanginya tidak disyariatkan. Bahkan sesiapa yang terbiasa dengan itu hendaklah diberi hukuman (untuk mengajarnya) bagi menghalangnya melakukan ibadah secara bid’ah dan mengganggu orang ramai dengan mengangkat suara" (al-Fatawa al-Kubra, 2/95).
Jadi, fahamlah kita bahawa niat itu kerja hati, bukannya lidah. Dan tak masuk akal bagi orang yang kata dia tak masuk niat lagi ke atau belum berniat ke. Itu semua tipu daya Iblis untuk memasukkan was-was dalam hati manusia. Aku pun pernah mengalami benda ini semua. Sama-samalah kita ambil pengajaran dan iktibar. Cukuplah di sini dulu. Jumpa lagi next post.

P/S: Ini hanyalah sekadar pendapat aku berserta hujah-hujah yang diambil daripada ilmuwan-ilmuwan Islam yang mempunyai kefahaman yang jauh lebih luas dari aku tentang Islam.

No comments:

Post a Comment