Wednesday, September 28, 2011

Taubat.

Assalamualaikum. 

Apa khabar semua? Semoga iman kita bertambah dari hari ke hari. Insya'allah. Post kali ini aku nak cakap pasal dosa dan taubat. Seperti yang kita tahu tidak ada manusia didunia ini yang maksum melainkan Rasulullah saw. Maksudnya semua manusia tidak terlepas dari berbuat dosa. Tak kesah dosa kecil atau besar.

Pernah tak sedetik dalam hati kita ada rasa nak bertaubat? Saya yakin semua pernah rasa begitu. Tapi kadang-kadang kita sering berbuat dosa yang sama walaupun telah bertaubat. Suatu perasaan yang menyakitkan bukan apabila kita dah bertaubat tapi buat dosa yang sama lagi. Saya juga tidak terlepas dari perasaan seperti itu.

Insan seperti kita ini memang tak terlepas dalam melakukan dosa walaupun dah bertaubat. Namun begitu, tak bererti apabila kita tergelincir dalam melakukan dosa berulang kali bermaksud taubat kita tidak ikhlas atau hanya lakonan. Kelemahan manusia itu sendiri yang mendorongnya untuk melakukan dosa. Jadi, janganlah kita berputus asa untuk bertaubat kepada Allah swt sentiasa. Sesungguhnya Syaitan akan sentiasa membisikkan kepada kita untuk berputus asa dengan rahmat Allah swt sedangkan Allah swt itu kan Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat. 

Ingin saya kongsikan satu hadis Nabi saw:
Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis di atas kita dapat lihat dimana seorang hamba Allah swt yang meskipun telah bertaubat tetapi dia sering melakukan dosa, Allah swt yang Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat masih menerima taubatnya selagi mana dia bertaubat dan benar-benar menyesal atas dosa yang dilakukannya.

Namun begitu, kita jangan ambil mudah sahaja. Kita tak tahu bila kematian menjemput kita. Oleh itu, mohon taubatlah selalu. Pintu taubat itu masih terbuka luas oleh Allah swt untuk hamba-hambanya yang lemah ini. Firman Allah swt:
Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).
Putus asa dengan rahmat Allah swt adalah bisikan Syaitan semata-mata yang tak mahu melihat anak Adam itu kembali kepada Allah swt.

Terdapat beberapa langkah yang boleh kita lakukan untuk menghindarkan kita daripada selalu berbuat dosa:
  • Berdampinglah dengan kawan-kawan yang baik. Yang selalu mengingatkan kita kepada Allah swt. Kawan yang selalu ingatkan solat kita dan selalu membetulkan kesalahan kita. Kawan yang baik insya'Allah dapat membentuk diri kita untuk menjadi baik. Firman Allah swt:
dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).
  • Selain itu, kita bolehlah selalu berdoa kepada Allah swt agar sentiasa diberi hidayah olehNya. Doa-doa tersebut kita boleh jumpa dalam Quran dan Hadis Nabi saw. Antaranya:
Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).
Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim- dinilai sahih).
Akhir sekali, taubatlah selagi masa masih ada. Saya pun tak pernah lepas dari melakukan dosa. Jadi sama-samalah kita ingat mengingati antara sesama Muslim. Apa yang saya tulis ini adalah untuk peringatan diri saya sendiri dan untuk kita semua yang lemah ini. Ingat! Jangan sesekali putus asa dengan rahmat Allah swt. Taubat selagi ada masa ini. Jangan tunggu dah tua baru nak taubat. Jangan tunggu dah sakit kronik baru nak taubat. Istighfar tiap hari pun dah kira taubat. 

Sabda Nabi saw:
Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

No comments:

Post a Comment