Tuesday, November 1, 2011

Manusia berbeza. Dihina atau dihargai?

(Sekadar gambar hiasan.)

Assalamualaikum wbt. Apa khabar? Lama pula tak update blog nih. Busy and kekeringan idea. Alhamdulillah hari ini aku diberi idea untuk menulis tentang satu topik iaitu, 'Manusia berbeza. Dihina atau dihargai?'.

Kita sebagai manusia atau khalifah Allah di muka bumi ini ada tanggungjawabnya. Apa tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah? Firman-Nya:
"Aku tidak menciptakan manusia dan jin melainkan untuk menyembah-Ku." (Adz-Dzariat: 56)
Jadi, apakah kita hidup dalam keadaan kita sedar siapa kita atau mengapa kita diciptakan? Bagi yang belum sedar, ini masa yang sesuai untuk kita sedar tentang hakikat kehidupan kita sebagai manusia.

Allah swt menciptakan manusia berperingkat seperti yang dinyatakan dalam al-Quran:
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.;Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat." (Al-Mukminun: 12-16)
Allah yang Maha Mencipta menjadikan manusia itu berbilang bangsa dan kaum. Ada yang gelap, ada yang cerah. Mengapa begitu?
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)" (Al-Hujuraat: 13)
Namun begitu, apa yang aku perhatikan ramai orang kurang gemar akan manusia yang berbeza ini. Tak kisahlah berbeza dari sudut fizikal dan mental. Bagi mereka, insan seperti ini harus dipinggir dan dibiarkan keseorangan. Bukan itu sahaja, mereka juga bermurah hati dengan 'menyedekahkan' gelak tawa, sindiran, kutukan dan umpatan kepada insan seperti itu. Kenapa? Hanya kerana dia berbeza...

Aku pun tak terlepas daripada buat macam itu. Ya, aku hanya manusia biasa. Namun, aku agak tersentuh dan tersedar selepas aku bertemu dengan orang yang secara fizikalnya memang lain dari yang biasa. Kesian aku tengok dia, semua tidak gemar duduk disebelahnya. Mungkin malu rasanya. Apalah salah dia weh? Aku yakin dia tak mintak dilahirkan macam itu. Aku juga yakin selepas solat dia tak pernah berdoa untuk Allah jadikan dia begitu. Tetapi atas kehendak dan ketetapan Allah. Dia jadi begitu. Ada hikmah disebalik setiap penciptaan Allah hanya bagi mereka yang berfikir. 

Ramai masyarakat mungkin tidak akan mendekati orang sebegitu. Paling jahat pun mereka akan mentertawakan, mengejek, sindir dll. Paling baik pun mereka membiarkan sahaja. Namun, berapa ramai yang mahu bersama-sama dengan insan berbeza itu? Insya'Allah ada sahaja manusia yang berhati mulia di dunia ini.

Persoalannya, kenapa kena rasa jijik akan orang sebegini? Tidakkan kita berasal dari tempat yang sama. Tuhan kita sama. Kita semua faham semua benda di dunia ini adalah ciptaan Allah. Jadi, kalau mulut kita ringan untuk mengutuk sesuatu kejadian, tidakkah ia sama dengan mengutuk Allah? Naudzubillah.

Seharusnya, kita mungkin boleh jadikan insan ini sebagai seseorang yang patut kita hargai. Kenapa? Kerana kita akan lebih bersyukur kepada Allah kerana kita tidak diletakkan pada tempat dia. Mereka juga manusia. Inginkan kawan dan sokongan seperti kita semua. Jadi berlakulah adil kepada insan berbeza ini. Tidak ada siapa yang sempurna dalam dunia ini. Semua nikmat Allah boleh tarik bila-bila masa saja. Rasa diri cantik, kacak, sempurna? Allah boleh tarik balik nikmat tersebut pada bila-bila masa sekiranya kita tidak bersyukur. 

Akhir kata, ambillah iktibar melalui penciptaan manusia itu sendiri. Sesungguhnya aku nasihat untuk diri aku sendiri terutamanya dan sahabat yang lain agar sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada dan jangan sesekali kita menghina atau menganiayai orang yang berbeza dengan kita. Sebab kita tak tahu mungkin satu hari kita akan berada di tempat mereka dan waktu itulah kita akan merasai apa yang selama ini kita buat pada mereka. Sekian sahaja. Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment