Saturday, February 19, 2011

Ijma' Ulama'.

Assalamualaikum wbt.

Seperti yang kita semua tahu, Islam itu dibina di atas dalil al-Quran dan as-Sunnah. Kita juga tahu sumber rujukan dalam Islam ada empat iaitu:
  1.  al-Quran
  2. as-Sunnah
  3. Ijma' Ulama'
  4. Qias
Saya rasa semua orang tahu apa itu al-Quran dan as-Sunnah. Mungkin ada juga tidak tahu apa itu Ijma' Ulama'.

Ijma' Ulama' 

Saya rasa mungkin ramai yang kurang faham atau salah faham tentang istilah Ijma' Ulama' ini sehingga ada yang menyalahgunakan istilah ini hanya untuk menang dalam hujah mereka. Kebanyakkan orang akan faham bahawa Ijma' Ulama' ini bermaksud persetujuan Ustaz-ustaz, Ulama'-ulama', Tok guru-tok guru dan lain-lain. Ada juga yang menyatakan ia sebagai jumhur ulama' atau kata majoriti ulama'.

Definisi Ijma' Ulama':

“Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad SAW, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak”. (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr).

Siapa ahli ijtihad?


Ahli ijtihad ialah orang yang sepeti Imam as-Syafie', Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Mereka ini ialah orang yang boleh berijtihad sendiri tanpa bergantung pada mana-mana mazhab.

Ustaz-ustaz, Ulama'-ulama', Tok guru-tok guru bukanlah para mujtahidin, tapi mereka adalah para mukallidin. Mukallidin ialah orang yang mengikut sesuatu atau mana-mana mazhab yang ada. Kesepakatan mereka tidak dinamakan Ijma'. Sekiranya seluruh mufti-mufti, ulama'-ulama' di Malaysia dan Indonesia bersepakat tentang sesuatu perkara, ia tetap tidak dipanggil ijma' kerana mereka bukanlah mujtahidin bahkan mereka adalah mukallidin.

Bagaimana Ijma' berlaku?

Ijma' berlaku apabila kesemua para mujtahidin yang hidup, yang selalu berbeza pendapat antara satu sama lain, tiba-tiba besepakat dalam sesuatu perkara. Itulah dinamakan Ijma'. Namun begitu, bukanlah mudah untuk mendapatkan Ijma'. Sekiranya terdapat 100 orang ahli ijtihad, 99 orang bersepakat dan 1 orang tidak, ia tidak menjadi Ijma'.

Kerana kesukaran ini, Imam Ahmad terkenal dengan kata-katanya menyatakan, “Sesiapa yang mendakwa ijmak, maka dia telah berdusta”.

Bukanlah maksud beliau untuk menidakkan ijma' tetapi kesukaran untuk mencapai ijma' itu sendiri. Namun, begitu mudah untuk kita mendengar perkataan ijma' oleh golongan agama dalam hujah atau ceramah mereka sedang mungkin mereka tidak tahu maksud sebenar ijma' itu sendiri.

No comments:

Post a Comment