Saturday, January 7, 2012

Hakikat Ujian.

(Gambar poyo ini hanya hiasan. Hoho.)

Assalamualaikum sahabat yang membaca, moga anda semua sihat dan sentiasa dibawah rahmat Allah swt.

Siapa di sini yang tidak pernah diuji oleh Allah walau sedikit pun. Setiap insan bakal diuji Allah swt.
Firman Allah: (maksudnya)
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya." (Surah al-Baqarah 155-157).
Namun begitu, setiap insan diuji oleh Allah swt sesuai dengan kadar kemampuan dirinya sendiri untuk menghadapi ujian tersebut. Hal ini selari dengan firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:
 "Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya."
Sebenarnya, ujian ini bukanlah sesuatu yang buruk kalau kita benar-benar faham. Kalau kita sedar, ujian mendekatkan kita dengan Allah swt. Seorang kaya yang sombong, pasti sujud kepada Allah swt setelah ditimpa kepadanya sesuatu. Seorang pelajar yang takbur dengan kecemerlangannya dalam pelajaran pasti akan kembali dekatkan dirinya kepada yang Maha Esa setelah diuji kepadanya kegagalan. Dan ingatlah setiap ujian yang kita dapat Allah swt memberi pahala sebagai ganti. Buktinya dalam hadis Nabi saw:
Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa). (Riwayat Muslim).
Seperti aku, aku tidak lepas juga dengan ujian Allah swt. Aku diuji dengan bermacam ujian. Dari segi akademik, hubungan aku sesama manusia, fizikal dan mental(Ada ke ni? haha) dan lain-lain. Pada mulanya mestilah aku berasa amat sedih dan dukacita dengan ujian yang aku dapat. Nak pula ujian itu aku rasa macam berat pula. Macam-macam benda syaitan hasut minda aku supaya fikir bukan-bukan. Nasiblah aku ada sahabat-sahabat yang baik yang dapat memperingatkan aku.

Dukacita dengan ujian itu perkara biasa bagi setiap insan. Namun begitu, kita seharusanya bersikap positif dengan ujian yang kita terima. Percayalah, setiap ujian itu sebenarnya Allah swt nak kita dekatkan diri kepadaNya. Mungkin sebelum ini kita selalu berdoa dan meminta kepada Allah swt. Lepas itu, kita leka dengan dunia lalu lupakan Allah swt. Dengan rahmat Allah swt, Dia bagi kita sedikit ujian hanya kerana Dia rindu nak mendengar suara kita yang selalu merintih kepadaNya dahulu. Sweet bukan. Hehe. 

Namun dalam kesedihan kita apabila ditimpa ujian, kita sering berdoa agar diberi jalan keluar atau penyelesaian terhadap masalah atau ujian yang kita hadapi. Allah swt yang Maha Mendengar rintihan hambaNya yang memiliki sifat Pengasih dan Penyayang, memakbulkan hajat atau doa kita. Sebagai contoh, kita sebelum ini gagal dalam pelajaran lalu kerana itu kita selalu berada dalam dukacita kerana ujian yang Allah swt berikan kepada kita. Setiap hari kita berdoa kepada Allah swt agar diberi kejayaan kepada kita. Dengan berkat dan kesungguhan kita berdoa dan berusaha akhirnya dia makbulkan. Lalu gembiralah kita dengan apa yang diberikan olehNya. Persoalan yang paling penting ialah bagaimana hubungan kita dengan Allah swt selepas itu? 

Aku amat takut jika diri aku ini berpaling kepada Allah swt setelah dia berikan nikmat kepada aku. Ketika aku dalam kesusahan dan dalam ujian yang berat, Dia memakbulkan segala permintaan aku. Namun bila aku dah dapat semua itu, apakah wajar aku lupakan Dia? Naudzubillah. Mudah-mudahan hubungan kita dengan Allah swt bertambah rapat dari hari ke hari. Jangan kita jadi hamba yang sombong kepada Allah swt sudah. Dulu waktu susah bukan main lagi berdoa, solat hajat dan lain-lain. Bila dah dapat enjoy sakan sampai solat tinggal pun tak kisah. Hmm.

Kesimpulannya kat sini ialah kita sebagai hamba Allah swt yang lemah ini perlulah meletakkan Allah swt sebagai tempat kita bergantung semata-mata. Memang lumrah bagi setiap manusia dia diuji. Firman Allah swt:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Al-Ankabut : 2-3)
Jadi, sama-samalah kita memuhasabahkan diri kita ini. Janganlah cepat melatah apabila ditimpa ujian. Carilah kemanisan dalam ujian tersebut nescaya kita akan reda dengan segala ujian yang mendatang. Tulisan ini aku tujukan sebagai peringatan untuk diri aku sendiri dan sahabat yang lain. Akhir kata, "La Tahzan, Innallaha Ma'ana" :)




1 comment: